Pada 1 Ogos lalu saya telah didedahkan dengan beberapa demonstrasi yang boleh digunakan sebagai salah satu medium pencetus perkembangan keupayaan kognitif. Demonstrasi-demonstrasi tersebut kelihatan ringkas tetapi sebenarnya mampu mengelirukan dan mempersoalkan pengetahuan sedia ada orang yang menyaksikan demonstrasi tersebut. 

Demonstrasi tersebut dipanggil kejadian bercanggah. Melalui demonstrasi yang dibuat tempoh hari, saya dapati bahawa kejadian bercanggah mempengaruhi atau pun memberikan kesan terhadap keseimbangan yang telah dicapai oleh seseorang. Berdasarkan teori Piaget, pemikiran manusia akan cuba mencapai keseimbangan. Ketidakseimbangan yang disebabkan oleh kejadian bercanggah akan cuba diatasi oleh individu dengan mengintegrasikan pengetahuan sedia ada dengan kejadian bercanggah tersebut, atau melupuskan pengetahuan sedia ada dan menyerap pengetahuan baru berdasarkan kejadian bercanggah tersebut.
 
Dengan bimbingan yang sesuai, saya dapati individu akan berusaha mencapai keseimbangan. Hal ini bermaksud, sekiranya individu bertemu dengan sebuah situasi yang mencabar pengetahuannya yang sedia ada, individu akan berusaha untuk mencari penjelasan yang logik bagi kejadian bercanggah tersebut lalu mewujudkan keseimbangan kognitif pada aras yang lebih tinggi. Piaget (1971) mengatakan bahawa individu tersebut akan lebih bersedia untuk berhadapan dengan perkara-perkara yang menimbulkan rasa ingin tahu.
 
Hal ini menepati apa yang telah dialami oleh saya di mana pemikiran saya sememangnya tercabar dengan kejadian bercanggah yang ditunjukkan oleh pensyarah. Keupayaan kognitif saya teruji apabila wujud perkara yang kelihatan tidak berkaitan dengan sebarang konsep sains, iaitu yang hanya bergantung kepada nasib sahaja. Namun apabila berfikir dengan lebih mendalam, setiap perkara mempunyai penjelasan yang munasabah dan berkaitan dengan pengetahuan saintifik.
 
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran pula, kejadian bercanggah bukan sahaja mampu merangsang keupayaan kognitif murid-murid. Akan tetapi, ia juga melibatkan domain afektif di mana murid akan terdidik menjadi pelajar yang mempunyai ketekalan dalam melakukan sesuatu tugasan. Sering kali guru-guur mengatakan bahawa murid-murid tidak memberikan perhatian dalam kelas. Akan tetapi, sebagai guru dan sebagai bakal guru, adalah penting untuk mendalami jiwa murid-murid yang memerlukan sebuah aktiviti pembelajaran yang memotivasikan mereka.
Selain daripada pengisian yang mantap, bahan bantu mengajar yang interaktif, dan aktiviti pembelajaran yang santai, guru juga memerlukan sesuatu yang boleh memastikan murid-murid kekal bersama dengannya sehingga tamat waktu. Hal ini boleh dicapai dengan menghasilkan sebuah induksi set yang mencabar pengetahuan sedia ada murid seperti yang dilakukan oleh demonstrasi kejadian bercanggah. Saya telah menjelaskan kesan kejadian bercanggah sebelum ini dan adalah penting bagi guru untuk menggunakan kelebihan yang ada pada kejadian bercanggah kepada murid.
Dengan ini, murid akan termotivasi untuk mencari jawapan berdasarkan kejadian bercanggah yang mereka saksikan. Apabila murid mempunyai motivasi yang tinggi, tugas guru akan menjadi semakin mudah untuk dilaksanakan. Objektif pelajaran yang ingin dicapai pada hari tersebut juga boleh dicapai dengan nilai tambah berbentuk sesi yang interaktif dan seronok, bukannya pasif dan membosankan.
 
Walaubagaimanapun, adalah penting bagi seorang guru untuk menyesuaikan atau memadankan konsep yang ingin diajar pada hari tersebut dengan demonstrasi kejadian bercanggah yang sesuai. Sekiranya kejadian bercanggah yang tidak sesuai digunakan, ia akan menjadi suatu beban dan masalah buat guru dan murid. Hal ini disebabkan masa yang terbuang untuk aktiviti yang tidak berkaitan dengan topik yang diajar. Di samping itu, akan wujud kekeliruan dalam kalngan murid kerana mereka asyik memikirkan penjelasan bagi kejadian bercanggah yang dilihat lalu mengetepikan isi pengajaran yang sepatutnya dikuasai pada hai tersebut.
 
Kesimpulannya, kejadian bercanggah merupakan salah satu medium bagi guru menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih menarik di samping melatih domain kognitif, domain psikomotor, dan domain afektif murid untuk berfungsi dengan seimbang. Namun, guru perlu berhati-hati untuk tidak menimbulakan perkara yang boleh merumitkan pembelajaran murid.

Oleh,
Akmal Izzuddin bin Mohamad
PISMP Sains Ambilan Januari 2011