Laman Repositori Pembelajaran Sains & Moral


Ulasan Buku
BIOLOGY: A Guide to Natural World
Oleh Encik Donatus Justin
IPG Kampus Keningau, Sabah
donatusjustin@gmail.com

Biology: A Guide to Natural World diterbitkan pada tahun 2000 oleh Pearson Education Inc, USA dan ditulis dalam bahasa Inggeris o

leh David Krogh. Buku ini sungguh popular sehingga diulang cetak sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2002 dan 2004. Saya menemui buku ini di Perpustakaan, IPG Kampus Keningau dan saya merupakan peminjam yang ketiga. Buku ini masih kelihatan baharu walaupun usia buku ini telah mencecah 18 tahun! Saya tertarik dengan muka depannya yang berwarna coklat dan tertera perkataan Biology dengan gambar foto rama-rama yang cantik, bunga berwarna putih dan seekor burung Heron (Ardea herodias occidentalis) yang sedang makan ikan. Saya berfikir tentu buku ini sesuai untuk pelajar Tingkatan Enam Sains atau mereka yang mengikut kursus pre-U termasuk siswa dan siswi pendidik yang sedang belajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh Malaysia, yang mengikut kursus Program Ijazah Sarjana Muda 


Pendidikan (PISMP). Buku ini setebal 403 muka surat (tidak termasuk lampiran) dan berharga US$90.00. Ia boleh dipinjam daripada Perpustakaan, IPG Kampus Keningau (OS 574 KRO) dengan nombor aksensen 057403. No ISBNnya pula ialah 0-13-142633-8.


Isi kandungan buku ini dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu isi kandungan, prakata, nota pelajaran, apendiks, jawapan, glosari dan indeks. Kelebihan unik buku ini adalah ia disertakan dengan sekeping CD yang dipanggil sebagai ‘student media support’ mengandungi isi pelajaran sokongan. Bahagian nota pelajaran terdiri daripada 31 bab yang merangkumi pelbagai tajuk biologi, kimia dan fizik seperti kaedah saintifik, atom, air, sel ringkas, membran sel, hukum Termodinamiks, tindak balas rekods, elektromagnetik, Gen DNA, turutan meiosis, hukum Mendel, asid amino, enzim, evolusi, pembiakan, geologi, mikroorganisma seperti virus dan fungus, fotosintesis, tisu tumbuhan, tubuh manusia, sistem saraf, sistem darah, pertumbuhan embrionik, kitaran pembiakan, pertumbuhan sel, kitaran karbon dan tajuk khas tentang lebah. Setiap bab tersebut diakhiri dengan ‘chapter review’ yang mengandungi ringkasan, istilah kekunci, soalan pelbagai pilihan, ulang kaji ringkas dan soalan aras tinggi ‘applying your knowledge’. 


Sekali pandang, pembaca mudah tertarik untuk terus membaca buku tersebut kerana gaya persembahan yang amat berkesan hasil daripada penggunaan jenis font yang formal dan saiz yang sesuai. Setiap penerangan amat mudah difahami kerana disertakan dengan gambar rajah yang berwarna, saiz yang munasabah dan jelas serta dilabelkan dengan tepat dan menarik. Gambar foto berwarna dan beresolusi tinggi juga disertakan dan ini dapat menarik perhatian pelajar untuk terus membaca dan menimba ilmu sebanyak mungkin. Untuk membantu pelajar mengingati konsep-konsep yang penting, setiap halaman disertakan dengan kekotak carta alir, graf berwarna dan kekotak ‘tutorial’. Gambar foto sebenar amat berkaitan dengan aplikasi isi pelajaran dan dapat merangsang pembelajaran pelajar secara kontekstual. Tentunya kelebihan ini dapat membantu daya ingatan pelajar. 


Penggunaan bahasa Inggeris adalah amat bersesuaian dengan tahap penguasaan bahasa Inggeris kebanyakan pelajar lepasan tingkatan lima atau enam, dan ringkasan di hujung bab dapat mengingatkan pelajar tentang konsep-konsep penting yang harus dikuasai atau dihafal. 


Seperti kebanyakan buku akademik, soalan latihan jenis objektif dan struktur pendek disediakan di setiap hujung tajuk. Susunan seperti ini memudahkan pelajar mengulang kaji dengan berkesan tanpa perlu bersusah payah membelek-belekkan halaman buku memandangkan buku ini agak tebal saiznya. Jawapan yang diberikan adalah lebih daripada mencukupi kerana disertakan juga dengan gambar rajah yang sesuai dan amat membantu pelajar memahami jawapan soalan. 


Bahagian apendiks mengandungi ‘metric-English system conversion’ untuk membantu pelajar menukarkan unit ukuran dari metrik kepada sistem English (sistem lama) dan sebaliknya dengan mudah.


Untuk mencari bahagian-bahagian tertentu dengan cepat, buku ini dilengkapkan dengan indeks. Istilah-istilah penting dapat dirujuk silang dengan mudah dan pembaca dapat mencari semua bahagian yang berkaitan. Ini memudahkan pelajar belajar dan mengulang kaji tajuk-tajuk tertentu tanpa membuang masa dalam pencarian.


Bukan setakat itu sahaja, glosari yang lengkap juga disertakan bersama. Semua istilah khas yang digunakan dalam buku ini disenaraikan secara tersusun dan setiap takrifan atau definisi diberikan adalah tepat, ringkas, dan dalam bahasa yang mudah difahami oleh pelajar sekolah. Setiap istilah khas yang dicari dapat dirujuk kepada halaman-halaman yang berkaitan dalam buku tersebut.


Sememangnya buku ini amat sesuai dimiliki oleh para pelajar sekolah menengah dan pre-U termasuk siswa dan siswi pendidik yang belajar di Institut Pendidikan Guru yang mengambil mata pelajaran Biologi kerana isi kandungannya masih dapat memenuhi kehendak sukatan pelajaran Malaysia walaupun usia buku ini telah mencecah 18 tahun!


 [697 patah perkataan]


Nota: Telah dipertandingkan dan mendapat  tempat kedua dalam pertandingan menulis ulasan buku anjuran Unit Perpustakaan, IPG Kampus Keningau pada 24 April 2018.


Buat situs web gratis dengan Yola